KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd Rahim Noor tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan hukuman mati.
Katanya, kerajaan sepatutnya mendapatkan pandangan pelbagai pihak terlibat termasuk orang ramai mengenai cadangan itu sebelum membuat keputusan yang diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Oktober lalu.
Menurut beliau, sebagai orang Asia dan berada di negara yang berbilang kaum serta semuanya mempunyai jiwa dan perasaan, kerajaan tidak wajar mengambil keputusan bersendirian tanpa memikirkan perasaan ahli keluarga mangsa.
“Saya ada membaca keputusan itu dalam akhbar dan secara peribadi, saya terkilan dengan keputusan memansuhkan hukuman mati.
“Atas sebab-sebab peribadi juga saya memegang prinsip, “berani buat, berani tanggung”. Jadi, memansuhkan hukuman mati bukan keputusan yang baik,” katanya pada sidang media “Isu Hukuman Mati” di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini, hari ini.